Tuesday, June 21, 2011

Beza Insuran Konvensional & Takaful : Sudut Hukum

Ramai yang kurang memahami beza di antara praktis yang dilakukan oleh syarikat Insuran dan Takaful. Setelah saya menulis tentang terdapat unsur gharar dan riba di dalam insuran konvensional. Maka timbul dakwaan bahawa jika demikian, takaful juga mengandungi proses yang sama. Lalu, bagaimanakah bentuk yang dilakukan oleh syarikat-syarikat Takaful?. Bukankah ia juga mempunyai elemen meletakkan wang dan menunggu pampasan apabila musibah mendatang.?

Jawapan mudah saya adalah, syarikat-syarikat Takaful telah mengubah aqad ‘Mu'awadah Maliah' yang digunakan oleh syarikat Insuran konvensional kepada aqad Tabarru'at (kontrak derma). Hasilnya, aqad derma tidak terikat dengan syarat-syarat jual beli tadi, tidak juga diperlukan untuk jelas dan terang jumlah itu dan ini semasa serahan derma.

Contoh mudahnya, apabila anda memberikan hadiah kepada seseorang, adakah menjadi syarat agar anda memberitahu kepadanya berapa jumlah yang anda beri? Jawapnya sudah tentu tidak menjadi syarat. Ini kerana, ia adalah sumbangan baik dari satu pihak, tatkala itu tidak banyak syarat diperlukan untuk melaksanakan aqad derma ini.

Bagaimanapun bagi memudahkan urusan syarikat Takaful, mereka akan menggunakan gabungan beberapa aqad. Asas asasnya adalah :-

  • a) Tabarru' dan Mudarabah
  • b) Wakalah dan Tabarru

Saya tidak akan mengulas kedua-dua bentuknya secara panjang lebar, cukup saya sertakan gambar rajah bagi kedua-dua bentuk agar ia dapat memberi sedikit gambaran awal kepada para pembaca. ( Malangnya saya gagal memasukkan gambar rajah ini )

1) Takaful Model Wakalah dan Tabarru'

Keterangan ringkas : Syarikat Pengendali Takaful dilantik oleh pencarum sebagi wakil bagi menguruskan sejumlah wang tertentu untuk didermakan bagi tujuan takaful apabila diperlukan. Untuk melaksanakan tujuan itu syarikat Takaful akan mengambil sejumlah upah (al-Ujr) atas sebagai kos pengurusannya. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai wakil untuk melaburkan wang yang belum didermakan dan atas dasr Ju'alah, syarikat akan mengambil satu lagi jumlah upah sekiaranya ia berjaya mendapatkan untung dari pelaburan yang diusahakannya itu.

2) Takaful Model Tabarru dan Mudarabah

Keterangan ringkas : Menurut model ini, pihak pencarum meletakkan wangnya dalam jumlah tertentu atas aqad tabarru', pihak syarikat akan menguruskan tabung takaful dan dalam masa yang sama melaburkannya, jika terdapat lebihan keuntungan (surplus) setelah ditolak semua kos-kos pengurusan, pihak syarikat Takaful akan menghadiahkan sejumlah wang kepada peserta sebagai penghargaan penyertaannya.

Kesimpulan; perubahan dari aqad yang mengandungi ciri jual beli yang diamalkan oleh Insuran konevsnional menjadikannya bermasalah dari sudut Shariah. Ini berbeza dengan yang digunakan oleh Takaful yang menggunakan samada aqad derma (tabarru') atau (wakalah).

Berikut pula perbezaan antara keduanya dalam bentuk jadual ;-

Konvensional Takaful
Kontrak Mu'awadah (Pertukaran Jual Beli) antara penanggung insurans dengan pohak yang diinsurankan Kontrak Tabbaru' ( Derma & sumbangan ) yang disertakan dengan pelaburan.
Pemegang polisi membayar premium kepada penanggung insuranPeserta membuat caruman ke dalam skim. Peserta saling menjamin sesama sendiri di bawah skim.
Penanggung insuran bertanggung jawab membayar manfaat insuran seperti dijanjikan daripada asetnya (kumpulan wang insuran dan kumpulan wang pemegang saham)* Pengendali Takaful bertindak sebagai pentadbir skim dan membayar Takaful daripada kumpulan wang takaful.

* Sekiranya berlaku kekurangan dalam kumpulan wang takaful, pengendali Takaful akan menyediakan (Qardhul Hasan) pinjaman tanpa faedah untuk menampung kekurangan berkenaan.
Pelaburan kumpulan wang bebas tanpa sebarang kekangan ShariahAset kumpulan wang Takaful HANYA boleh dilaburkan dalam instrumen yang selari dengan Shariah.
Wang pelanggan dianggap wang syarikat insuran dan dimilki olehnya sejurus dibayar oleh pelanggan.Wang pencarum tidak di kira sebagai wang syarikat malah ia diasingkan dan tidak dimiliki oleh pengendali
Keuntungan yang dihasilkan dari kumpulan wang pencarum adalah dimiliki sepenuhnya oleh syarikat. Ia juga adalah objektif utama syarikat insuran.Keuntungan hasil pelaburan dari kumpulan wang pencarum tidak dimiliki oleh syarikat kecuali nisbah yang disumbang dari wang syarikat sendiri. Baki keuntunaghn adalah milik tabung kumpulan wang pencarum.
Pencarum tidak berhak untuk mendapat sebarang bahagian dari 'surplus' Lebihan, untung atau pulangan dipegang oleh tabung untuk dibahagikan semula kepada pencarum.

Monday, June 20, 2011

Halalkah Penalti di Bank Islam?

Dalam praktis perbankan Islam mereka turut mengenakan sejumlah wang sebagai gantirugi atau seperti denda, jumlah ini sebenarnya dianggap sebagai bayaran kos rugi (ta'widh atau compensation) yang dihadapi oleh bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dijanjikan. Pembaca perlu membezakan bayaran ganti rugi yang dikenakan oleh bank-bank Islam dengan penalti oleh bank konvensional.

apenalti.jpg

Ganti rugi atau compensation yang dikenakan oleh bank Islam adalah terhasil daripada proses jual beli dengan bayaran ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti bank konvensional adalah hasil daripada kontrak pinjaman semata-mata.

Para ulama kontemporari terbahagi kepada tiga kumpulan menentukan hukum penalti akibat lewat pembayaran hutang sebagaimana yang terdapat di bank-bank Islam. Ringkasnya seperti berikut :-

Kumpulan Pertama : Harus dikenakan penalti dalam bentuk wang

Mereka seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Muhammad Sadiq Ad-Dharir, Sheikh Abdullah Bin Mani', Majlis Penasihat Syariah Bank Islam Jordan, dan Fatwa Persidangan Dallah Al-Barakah [1] dan majoriti Majlis Syariah di bank-bank Islam di Malaysia.

Menurut kumpulan ini wang penalti itu pula boleh dimanfaatkan oleh bank Islam. Keharusan ini berdasarkan beberapa hujjah antaranya :-

•· ‘Maslahat Mursalat' dan tindakan mengenakan gantirugi ini adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun ketika mempunyai wang. Ia dinamakan mumatil yang disebut oleh Nabi SAW:

مطل الغني ظلم

Ertinya: "Penangguhan sengaja (daripada membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman." (Riwayat Al- Bukhari, no 2167, 2/799)

لي الواجد ظلم يحل عقوبته وعرضه

Erti : bagi orang berkemampuan dan melewatkkan hutang adalah zalim, halal ke atas mereka hukuman (Abu Daud, An-Nasaie, Ibn Hibban : Sohih)

Kedua-dua hadis ini menunjukkan haram hukumnya melewatkan pembayaran hutang bagi mereka yang ada kemampuan.

•· Qiyas kepada hukuman terhadap perampas harta orang lain. Sekiranya terdapat seorang mencuri atau merampas atau enggan memulangkan harta mangsa yang disimpannya, mangsa diberi hak untuk mengambil mana-mana harta pencuri, perampas atau penyimpan bagi mengembalikan haknya yang dicabuli. Mereka juga bertanggungjawab atas harta mangsa sepanjang tempoh tersebut, justeru sebarang kerugian yang ditanggung oleh mangsa turut akan dituntut dari pencuri, perampas dan penyimpan.

Hal ini dikira sama dengan pelanggan yang berjanji membayar hutang bank Islam pada tempoh tertentu, tetapi melanggar janjinya. sebagai tindakan susulan, bank dibenarkan bertindak dengan mengenakan penalti seperti hukuman merampas.

•· Hukuman ta'zir (denda) ke atas pesalah seperti orang berduit tetapi sengaja melewatkan bayaran hutang terpulang kepada ijtihad hakim atau pemerintah, tanpa terhad kepada hukuman dalam bentuk tertentu sahaja, hukuman boleh datang dalam bentuk denda kewangan dan juga lain-lainnya.

Malah terdapat riwayat silam yang menunjukkan pemerintah Islam pernah mengurung individu sebegini sehinggalah ia membayar hutangnya [2]. Ringkasnya, hukuman seperti disenarai hitamkan nama, dirampas passportnya, dirampas hartanya dan dijual untuk menyelesaikan hutang adalah dibenarkan oleh Islam.

Kumpulan Kedua :Mengharuskan penalti bentuk wang tetapi disalur kepada kebajikan.

Kumpulan ini seperti kumpulan pertama dari sudut mengharuskan penalti bentuk wang dikenakan ke atas pelanggan yang lewat membayar hutangnya, namun semua jumlah yang terkumpul dari penalty ini TIDAK BOLEH dimanfaatkan oleh pihak bank. Semua jumlah tersebut mestilah diberikan kepada kebajikan awam atau faqir miskin.

Antara yang berpegang dengan fatwa ini adalah Dr Abd Sattar Abu Ghuddah, dan ia turut diputuskan oleh Majlis Syariah AAOIFI bagi produk Murabahah. Fatwa AOOIFI menyatakan :-

يجوز أن ينص في عقود المداينات : مثل المرابحة على التزام المدين عند المماطلة بالتصدق بمبلغ أو نسبة بشرط أن يصرف ذلك في وجوه البر

Erti : Harus dimasukkan dalam mana-mana kontrak yang bersifat hutang seperti Murabahah , bahawa orang yang berhutang di ketika berlaku kelewatan bayaran hutang sedangkan ia mampu, dia akan menyedeqahkan satu jumlah atau nisbah tertentu dengan syarat jumlah tersebut diserahkan kepada kebajikan. [3]

Pandangan ini dipegang oleh majoriti ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia. Hujah bagi kumpulan ini adalah :-

•· Konsep sedeqah duit (ta'widh atau compensation) kepada badan kebajikan atau faqir miskin adalah dibuat atas konsep Iltizam at-tabarru' yang disebut di dalam kitab fiqh mazhab Maliki. Sebagaimana kata Imam Malik :

والمعروف من أوجبه على نفسه لزمه

Erti : Dan perkara yang baik (ma'ruf) sesiapa yang mewajibkan (berjanji) untuk ditunaikannya, wajib (lazim) untuknya menunaikannya" [4]

Ia bermakna semua pelanggan memberikan komitmen jika ia gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dipersetujui. Ia berjanji akan bersedekah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya.

•· Riba hanya akan berlaku apabila pemberi pinjam (atau dalam konteks kontrak jual beli) penjual sendiri yang mengambil wang penalty tadi, yang hutang pelanggan bertambah kerana lewat bayar. Iaitu Riba al-Jahiliyah dan juga an-Nasiah.

Namun demikian jika jumlah penalty diserahkan kepada pihak ketiga dan kebajikan, ia tidak lagi menjadi riba menurut kumpulan ulama ini.

Di kebanyakan bank Islam yang mengamalkan fatwa ini, jabatan Syariah dan majlis penasihat Syariah yang akan memantau. Malah keputusan majlis penasihat Syariah juga mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan ini. Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul daripada ta'widh akan terus masuk ke akaun khas seperti charity contohnya. Ia pula tidak boleh disalurkan kepada charity kecuali setelah disahkan layak oleh majlis penasihat Syariah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan kronisme dalam pembahagian.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa buah bank Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak mengehadkan penggunaan wang ta'widh (compensation) kepada faqir miskin sahaja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka sebagaimana kumpulan pertama. Perkara ini mungkin telah disahkan harus oleh majlis penasihat Syariah masing-masing.

Kumpulan ketiga : Penalti tidak harus sama sekali

Antara ulama yang terkuat mengempen pandangan ini adalah Dr Nazih Hammad, Dr Md Ali El-Gari dan lain-lain dengan pelbagai hujah juga. Hujjahnya adalah [5] :-

•· Penalti disebabkan lewat bayar adalah riba

•· Menolak konsep rampasan tadi kerana hujjah yang mengatakan pihak mangsa boleh mendapat untung dan manfaat kiranya ia mendapat hartanya kembali dalam waktu yang sepatutnya adalah andaian semata-mata. Terdapat kemungkinan besar juga dia tidak langsung memenafaatnya atau mungkin berpotensi untuk rugi jika diperolehi hartanya. Justeru menggunakan hujah ini tidak kukuh.

Kesimpulan

Setelah membaca dan merujuk hujjah-hujjah setiap kumpulan serta melihat kepada keadaan dan konteks semasa, saya cenderung kepada pandangan kumpulan kedua.

Pandangan kumpulan ketiga juga amat baik, namun, untuk bertindak sedemikian dalam konteks semasa, sudah tentu ada antaranya yang sesuai manakala tidak sebahagian lainnya. Memandangkan lemah sifat amanah manusia untuk membayar hutang mereka dewasa ini dan bagi menyekat mudarat besar daripada berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, ta'widh (gantirugi) akan dikenakan.

Bagi fatwa di Malaysia, isu ini dibawa ke persidangan ilmuan Syariah di peringkat Malaysia khususnya Bank Negara Malaysia. Hasilnya keputusannya menyebut, bagi menyekat kecuaian sengaja ini, maka diharuskan mengenakan denda ta'widh dengan syarat ia adaah kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya. Penentuan kadar rugi ini akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia. [6] Selain itu hanya kadarnya adalah 1 peratus sahaja dan ia tidak bersifat compounding.

Pembaca perlu faham bahawa penalti yang dikenakan oleh bank konvensional adalah compounding iaitu penalti ini akan dimasukkan dalam jumlah pinjaman dan jika kena penalti lagi, maka peratusan penalti akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal yang ditambahkan dengan penalti. Ini zalim dan amat menindas.

Sekian,

Thursday, August 5, 2010

apa itu muamalat???

Muamalat ialah aktiviti yang melibatkan perhubungan manusia dengan manusia. Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariah Allah s.w.t yang melibatkan ekonomi dan sosial Islam.
Apakah kaitan Muamalat dan Muamalah?

Muamalah secara umum ialah aturan-aturan (hukum) Allah untuk mengatur kehidupan manusia dengan urusan duniawi atau dalam pergaulan sosial. Secara khususnya, Muamalah bermaksud aturan-aturan Allah yang wajib ditaati yang mengatur hubungan manusia dengan manusia dalam kaitannya dengan cara memperoleh dan mengembangkan harta. Oleh itu, muamalat dan muamalah mempunyai kaitan kerana ia melibatkan aktiviti manusia sesama manusia untuk mendapatkan kehendak dan keperluan hidup serta berlandaskan syariah.

Apakah perbezaan Sistem Kewangan Islam dan Konvensional?

Perbezaan Sistem Kewangan Islam dan Konvensional boleh dilihat kepada konsep dan operasi. Konsep Kewangan Islam merujuk kepada prinsip-prinsip syariah yang bebas daripada unsur-unsur yang dilarang seperti riba, gharar (keraguan), maisir (judi), tadlis (penipuan), penindasan, ketidakadilan, memonopoli harta dan sebagainya. Manakala konsep sistem kewangan konvensional pula adalah sebaliknya.
Dari sudut operasi pula, Sistem Kewangan Islam adalah berteraskan akad yang telah dipersetujui oleh Syarak seperti Bai’ Bithaman Ajil (BBA), Wadi’ah, Mudarabah, Musyarakah dan sebagainya. Manakala sistem kewangan konvensional pula operasinya adalah tidak berteraskan akad-akad yang sah dari sudut Syarak dan kebanyakkannya terlibat dalam sistem pinjaman yang berteraskan riba.

Apakah yang dimaksudkan dengan Takaful?


Takaful ialah, suatu skim yang berdasarkan prinsip ta`awun, jamin menjamin atau bantuan bersama. Ia memberikan perlindungan bersama aset dan harta serta menawarkan perkongsian risiko bersama sekiranya salah seorang ahlinya mengalami kerugian.

Pihak manakah yang bertanggungjawab mengawasi Sistem Kewangan Islam di Malaysia?

Bank Negara Malaysia (BNM) ialah pihak yang bertanggungjawab dalam mengawalselia dan mengawasi institusi-institusi Perbankan Islam dan takaful di Malaysia dan dalam masa yang sama sebagai Bank Pusat bagi Malaysia. BNM turut berperanan mewujudkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Antara institusi lain yang bertanggungjawab mengawalselia sistem kewangan Islam termasuklah Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang bertindak sebagai pemantau Pasaran Modal Islam di Malaysia.

Friday, April 2, 2010

BAGAIMANA SEKURITI SAHAM DILULUSKAN OLH SYARIAH????

Sekuriti lulus Syariah didagangkan setiap hari di pasaran saham Malaysia. Mungkin pelabur telah pun melabur dalam sekuriti ini tanpa menyedarinya. Pada asasnya, sekuriti patuh Syariah adalah sekuriti yang sama yang didagangkan di Malaysia Securities Exchange Bhd (MSEB) tetapi sekuriti ini mesti mematuhi satu set kriteria sebelum mereka boleh dikategorikan sebagai lulus Syariah.

Aktiviti yang dibenarkan berbanding aktiviti yang tidak dibenarkan Bawah prinsip Syariah, salah satu daripada aspek paling penting sebelum sesuatu keputusan pelaburan dibuat ialah keperluan menilai aktiviti perniagaan sesuatu syarikat untuk memastikan sama ada aktivitinya dibenarkan (halal) atau tidak dibenarkan (tidak halal). Jadi, bagaimana pelabur hendak menentukannya?

Kriteria
Sekuriti bagi syarikat yang menjalankan mana-mana kegiatan yang berikut tidak layak untuk lulus Syariah:
a. Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
b. Perjudian;
c. Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
d. Insurans konvensional;
e. Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah;
f. Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
g. Pembrokeran atau jual beli sekuriti yang tidak diluluskan Syariah; dan
h. Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.

Selain itu, MPS turut mengambil kira faktor-faktor lain yang tidak berasaskan aktiviti, seperti kadar sumbangan pendapatan faedah yang diterima oleh syarikat daripada simpanan tetap konvensional atau lain-lain instrumen kewangan yang mempunyai faedah.
dividen yang diterima oleh syarikat daripada pelaburannya dalam sekuriti yang tidak lulus Syariah
Walau bagaimanapun, bagi syarikat yang aktiviti perniagaan terasnya meliputi kedua-dua elemen, yang dibenarkan dan tidak dibenarkan, MPS menetapkan kriteria tambahan dalam menilai sekuriti syarikat tersebut, iaitu:

1)Peratus elemen haram apabila dibandingkan dengan keseluruhan aktiviti teras;
2)Persepsi awam atau imej syarikat, sama ada baik atau sebaliknya; dan
3)Aktiviti teras syarikat, sama ada penting dan membawa manfaat secara umum (maslahah) kepada keseluruhan masyarakat (ummah).


Ukur rujuk 10 peratus

Ukur rujuk ini digunakan untuk menilai kadar sumbangan bercampur daripada aktiviti yang membabitkan elemen "umum balwa" yang merupakan elemen terlarang yang melibatkan kebanyakan orang dan sukar untuk dielakkan. Contoh sumbangan ini ialah pendapatan faedah daripada simpanan tetap (FD) syarikat tersenarai di bank konvensional. Ukur rujuk ini turut digunakan bagi aktiviti berkaitan tembakau.

Contoh:Jentayu Bhd merupakan sebuah syarikat pembinaan yang menyimpan wangnya dalam simpanan tetap (FD) konvensional di bank perdagangan. Jika peratus pendapatan faedah daripada FD yang disumbangkan kepada hasil kumpulan, melebihi 10 peratus ukur rujuk, sekuriti Jentayu Bhd akan diklasifikasikan sebagai tidak lulus Syariah.

Ukur rujuk 25 peratus

Ukur rujuk ini digunakan untuk menilai kadar sumbangan bercampur daripada aktiviti yang pada amnya dibenarkan menurut Syariah tetapi turut mempunyai elemen aktiviti yang boleh menjejaskan status lulus Syariahnya. Antara aktiviti yang termasuk dalam ukur rujuk ini ialah pengurusan hotel dan rumah peranginan dan perdagangan saham serta pembrokeran saham dalam sekuriti yang tidak lulus Syariah. Aktiviti ini boleh melibatkan aktiviti yang tidak dibenarkan menurut Syariah.

Contoh:
Batu Bhd terlibat dalam perniagaan kuari dan pembinaan. Walau bagaimanapun, salah satu daripada anak syarikatnya terlibat dalam perniagaan perhotelan dan pusat peranginan. Sekuriti Batu Bhd akan diklasifikasikan sebagai tidak lulus Syariah sekiranya peratus hasil dan keuntungan sebelum cukai daripada hotel dan pusat peranginan itu menyumbangkan 25 peratus melebihi ukur rujuk, kepada hasil dan keuntungan sebelum cukai kumpulan tersebut.

Kriteria kualitatif

Dalam menentukan status Syariah, MPS turut mengambil kira faktor kualitatif, umpamanya pandangan umum atau imej syarikat dan aktiviti terasnya, dan sama ada aktiviti itu penting dan dianggap maslahah (memberikan "manfaat" umum) kepada masyarakat dan negara Islam.
Pada masa ini, lebih daripada 80% syarikat awam tersenarai di Bursa Malaysia diklasifikasikan sebagai lulus Syariah. Oleh itu, pelabur yang melabur berdasarkan prinsip-prinsip Syariah mempunyai lebih banyak syarikat untuk dipilih bagi menambah portfolio pelaburan mereka

Stok pinjaman

Stok pinjaman yang disenaraikan di Malaysia Securities Exchange Bhd (MSEB) tidak dikira sebagai sekuriti lulus Syariah kerana stok tersebut adalah instrumen berfaedah dan tidak distrukturkan mengikut prinsip-prinsip Syariah. Pelabur mesti memahami perbezaan ini kerana, walau pun saham sesebuah syarikat mungkin dikelaskan sebagai lulus Syariah, stok pinjamannya pula tidak lulus Syariah.

Contoh:

XXX Bhd
Sekuriti Lulus Syariah

Saham -Ya

Waran/hak -Ya

Stok pinjaman -Tidak *

Nota: * menandakan bahawa sekuriti ini tidak lulus Syariah kerana merupakan instrumen berfaedah.
Sumber-sumber bantuan

Lebih 80% sekuriti yang disenaraikan di MSEB adalah lulus Syariah dan terdapat dalam hampir kesemua sektor. Ini menyediakan peluang pelaburan yang mencukupi bagi pelabur yang berhajat untuk melabur dalam sekuriti lulus Syariah. Pelabur boleh membuat semakan cepat dengan-

1)Membaca buku kecil SC mengenai Senarai Sekuriti yang Diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti yang boleh diperoleh secara percuma daripada SC dan dikemaskinikan setiap enam bulan; atau
2)Melayari tapak web SC di http://www.sc.com.my/ untuk menyemak senarai sekuriti lulus Syariah.

Tetapi ingatlah bahawa sekuriti lulus Syariah hanyalah untuk menyatakan status dibenarkan atau halal bagi sesuatu sekuriti. Ia bukan satu pengesahan oleh SC bahawa sekuriti itu sesuai untuk pelaburan. Pada asasnya, pelabur mesti membuat keputusan pelaburan mereka sendiri. Oleh itu, pelabur masih perlu melengkapi diri dengan pengetahuan, contohnya membaca prospektus dan laporan tahunan syarikat.

Siapa yang menentukannya?
Sekuriti lulus Syariah ditentukan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC). Ahli-ahli MPS, yang dilantik oleh SC, terdiri daripada para ulama, hakim dan pakar kewangan. Mereka menentukan sekuriti yang mana mematuhi prinsip-prinsip Syariah.


BERUNTUNGLAH KITA SEBAGAI WARGA MALAYSIA KERANA Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah mengambil langkah untuk menilai aktiviti perniagaan syarikat-syarikat awam tersenarai. Sekuriti bagi syarikat yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MPS akan diklasifikasikan sebagai lulus Syariah.

Thursday, January 21, 2010

INGIN MENGETAHUI CARA BUSINESS NABI ?

BAB 1 :MENJADIKAN BEKERJA SEBAGAI LADANG MENJEMPUT SYURGA.....

Didalam surah ALI IMRAN (3) : 110 maksudnya" kamu adalah umat yang terbaik dilahirkan untuk manusia".

Terdapat sebuah kisah pada zaman Rasulullah SAW yang baru pulang dari Perang Tabuk, beliau telah melihat tangan Sa'ad yang melepuh. Kulitnya hangus kehitam-hitaman kerana dinah pancaran matahari.

" Kenapa tanganmu ," tanya Rasulullah.

" Kerana aku mencangkul tanah dengan cangkul ini untuk mencari nafkah keluarga yang menjadi tanggunganku," jawab Sa'ad.

Rasulullah lalu mengambil tangan Sa'ad dan menciumnya secara berkata, " inilah tangan yang tidak pernah disentuh api neraka" Dalam riwayat yang lain, setelah mencium tangan pekerja, baginda bersabda:

" Hadzihi yaddun yuhibuhallahu wa Rasuluhu, inilah tangan yang dicintai Allah dan Rasulnya."

HR at-Thabari.

Saat membaca hadis ini, saya benar-benar tersentuh olehnya. Rasulullah yang agung itu bagaimana mungkin dengan spontannya mencium kedua tangan Sa'ad, kerana mencari nafkah keluarga yang menjadi tanggungannya.

Apa keistimewaan sebuah kulit yang melepuh dengan sebuah cangkul bagi sebuah ajaran agama?.....Adakah kaitan pekerjaan mencangkul dengan persoalan agama?

Selintas terfikir bahawa dalam tingkah laku Raulullah di atas terdapat jaringan makna yang panjang. Tangan yang melepuh adalahwakil dari tindakan bekerja, bekerja adalah persoalan duniawi, tapi bekerja mendapat perlakuan dari rasulullah.Disini menunjukkan bekerja juga memiliki kaitan yang tidakl terpisah dengan unsur agama, di mana agama sentiasa berkaitan dengan urusan ukhrawi.

Banyak diketahui, sampai detik ini, peradaban kaum Muslimin benar-benar terperosok di mata dunia. Kita orang2 Muslim jauh terperosok di mata dunia. Kita orang2 Muslim jauh ketinggalan dengan mereka orang2 non- Muslim dari segala aspek kehidupan baik persoalan ekonomi, sosial, budaya bahkan ilmu pengetahuan teknologi.