Muamalat ialah aktiviti yang melibatkan perhubungan manusia dengan manusia. Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariah Allah s.w.t yang melibatkan ekonomi dan sosial Islam.
Muamalah secara umum ialah aturan-aturan (hukum) Allah untuk mengatur kehidupan manusia dengan urusan duniawi atau dalam pergaulan sosial. Secara khususnya, Muamalah bermaksud aturan-aturan Allah yang wajib ditaati yang mengatur hubungan manusia dengan manusia dalam kaitannya dengan cara memperoleh dan mengembangkan harta. Oleh itu, muamalat dan muamalah mempunyai kaitan kerana ia melibatkan aktiviti manusia sesama manusia untuk mendapatkan kehendak dan keperluan hidup serta berlandaskan syariah.
Apakah perbezaan Sistem Kewangan Islam dan Konvensional?
Perbezaan Sistem Kewangan Islam dan Konvensional boleh dilihat kepada konsep dan operasi. Konsep Kewangan Islam merujuk kepada prinsip-prinsip syariah yang bebas daripada unsur-unsur yang dilarang seperti riba, gharar (keraguan), maisir (judi), tadlis (penipuan), penindasan, ketidakadilan, memonopoli harta dan sebagainya. Manakala konsep sistem kewangan konvensional pula adalah sebaliknya.
Apakah yang dimaksudkan dengan Takaful?
Takaful ialah, suatu skim yang berdasarkan prinsip ta`awun, jamin menjamin atau bantuan bersama. Ia memberikan perlindungan bersama aset dan harta serta menawarkan perkongsian risiko bersama sekiranya salah seorang ahlinya mengalami kerugian.
Pihak manakah yang bertanggungjawab mengawasi Sistem Kewangan Islam di Malaysia?
Bank Negara Malaysia (BNM) ialah pihak yang bertanggungjawab dalam mengawalselia dan mengawasi institusi-institusi Perbankan Islam dan takaful di Malaysia dan dalam masa yang sama sebagai Bank Pusat bagi Malaysia. BNM turut berperanan mewujudkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Antara institusi lain yang bertanggungjawab mengawalselia sistem kewangan Islam termasuklah Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang bertindak sebagai pemantau Pasaran Modal Islam di Malaysia.
